Selasa, 20 Oktober 2015

 Kenapa anak tidak disiplin ?


 Alhamdulillah, hari ini saya mendapatkan satu ilmu, yang sebenarnya sering saya fikirkan kebelakangan ini. Daripada ustazah Isfadiah berkenaan kenapakah anak-anak menjadi kurang atau tidak dapat berdisiplin dalam amalan harian samada dalam aspek pelajaran atau kemahiran hidup di rumah dan luar sehingga menyebabkan prestasi mereka memburuk samada dalam aspek pelajaran, sikap, dan amalan lain.

Sedarkah ibu, ayah bahawa hidup ini sesungguhnya mudah. Allah sudah menyediakan sebuah cara hidup yang mudah untuk kita amalkan.

 Agak-agaknya apakah kunci kepada disiplin dalam hidup khususnya kepada seseorang anak, malah untuk seorang dewasa. 

Itulah solat. Kalau kunci rosak atau bengkok, bolehkah membuka pintu, mustahil. Justeru menangani anak-anak yg bermasalah disiplin ini adalah dengan memastikan mereka menjaga solat.

 Jika sudah lama tidak solat atau solat yang masih on-off, maka mulakan dari hari ini bimbinglah dengan kasih sayang anak-anak supaya mereka istiqomah dalam solat. Semua ini memerlukan ikhtiar iaitu pada awalnya bersusah-susah dulu. insyaAllah dengan mukjizat solat itu lama kelamaan akan lembut hati anak. Itulah rahsia Allah. 

Bila kita berikhtiar mendekatkan anak dengan Allah, maka pasti Allah suka dan pasti Dia akan bantu. Janganlah menganggap urusan anak ini sesuatu yang remeh atau menyerahkan bulat-bulat pada guru mereka. Percayalah anak-anak akan lebih menghargai bila yang membimbing itu adalah daripada ibu ayahnya sendiri, kerana ikatan darah daging itu mempunyai aura yang sangat besar bagi seseorang anak.

Mulai hari ini sentuh lah dengan kasih dan lafazkan pada anak yang ibu dan ayah sayangkan mereka, sesungguhnya mengucapkan sayang itu tidak ada had umur, malah ucapan sayang adalah satu ubat semangat bagi hidup seseorang. Manusia hidup atas pujian dan sebaliknya.

Bimbinglah anak-anak solat dengan sabar, bila sudah baik kunci, maka akan baik lah yang lain. Wallahua'lam. 

Isnin, 12 Oktober 2015

Adab Menziarah Bayi Baru Lahir



Assalamualaikum, sepanjang menjadi ibu dan melalui pengalaman melahirkan anak, saya ingin berkongsi sedikit adab-adab menziarah bayi baru lahir supaya keselamatan bayi dan ibu dari aspek kesihatan dan agama terpelihara, insyaAllah.


Adab bagi tetamu:

1. Berziarahlah pada waktu pagi atau awal petang kerana ketika ini ibu bayi dalam keadaan bersedia. Jangan sesekali menjenguk bayi pada waktu maghrib atau malam.

2. Sebaiknya ketika sampai di rumah tuan rumah, sebelum melangkah masuk, bacalah ayat-ayat Alquran khususnya ayatul kursi, supaya dijauhkan daripada gangguan makhluk lain yang mungkin mengiringi kita di perjalanan.

3. Sebaik sampai, jangan lah terus menjenguk bayi, sebaiknya duduklah dahulu.

4. Apabila melihat bayi, tidak perlu menggendong mahupun menyentuh bayi, kerana dikhuatiri tangan kita dalam keadaan tidak bersih, sementelahan bayi yang masih sangat lemah antibodinya.

5. Berdoalah kesejahteraan bayi dengan suara yang boleh didengar oleh bayi walaupun dia masih belum mengerti.

6. Setelah itu jauhkan lah diri anda daripada bayi tersebut, dan duduklah di tempat duduk tamu seperti biasa.

7. Amalan mencium bayi sebelum pulang sebagai tanda ucapan selamat tinggal juga tidak perlu dilakukan.

8. Tidak perlu menyuarakan terlalu banyak tips kepada ibu kecuali dipinta, kerana dikhuatiri pandangan kita boleh membebankan ibu yg masih lemah.Cukuplah memberi semangat dan pujian kepada ibu serta menyatakan perkara-perkara yang menyenangkan.


Adab bagi ibu:

1. Pastikan ibu menjaga aurat dengan sempurna ketika ada kunjungan tetamu. Tidak ada alasan untuk membuka aurat ketika ini.

2. Ibu tidak perlu tidur dan meletakkan segala barangan ibu dan bayi di ruang tamu, seperti kebiasaan yang dilakukan masyarakat kita, ini kerana ibu perlu menjaga aurat serta aib dirinya, manakala keadaan bayi yang masih lemah antibodinya tidak boleh didedahkan begitu sahaja seperti barang pameran.

3. Sebaik tetamu datang, tidak perlu membawa bayi dan di tunjukkan kepada tetamu, cukuplah sekadar tetamu menjenguk bayi di bilik tidur seterusnya mendoakannya tanpa perlu menggendong atau menyentuh bayi.

4. Biarkan bayi tidur di bilik walaupun ada kunjungan tetamu.




Sesungguhnya kita sebagai ibubapa tidak salah jika kita kelihatan sedikit cerewet terhadap bayi kita yang masih baru. Menjaga kesihatan bayi itu lebih patut diutamakan.




Sekiranya ada daripada perkongsian saya kali ini yang masih belum lengkap, mohon beri cadangan anda di sini. Wallahua'lam.



Rabu, 12 November 2014

Motivasi Gaya Rasulullah: Sunnah jelah...

Motivasi Gaya Rasulullah: Sunnah jelah...: ”...Berpada-padalah dengan Sunnah Nabi s.a.w...” Assalamualaikum...”...Berpada-padalah dengan Sunnah Nabi s.a.w...”itulah bunyinya ungka...

Jumaat, 17 Oktober 2014

Membentuk Anak Lebih Berdikari



Membentuk Anak Lebih Berdikari

1.  Tidak perlu melayan anak terus menerus.

Tahukah ibu dan ayah, hakikatnya seorang anak tidak memerlukan kita bersamanya setiap masa, mereka boleh beraktiviti seorang diri kerana seorang anak mempunyai imaginasi yang sangat besar. Kalaupun anak selalu datang kepada kita dan bertanya, sebenarnya itu hanyalah sebuah habit, kerana sebenarnya mereka sudah ada expectation atau jangkaan. Secara jujur, bermain bersama anak adalah sesuatu yang sangat bernilai, tetapi berikanlah masa untuk anak bermain sendiri dan bebas supaya mereka boleh menggunakan idea sendiri dan dilayan oleh kebolehan minda mereka sendiri. Malah biarkan mereka sesekali berada dalam zon bosan, kerana hakikatnya dengan kebosanan itulah akan terbit idea-idea baru dan menjana anak menjadi lebih kreatif.

2.  Lihatlah anak anda sebagai seorang yang ‘boleh’.

Kerapkali kita suka menolong melakukan sesuatu pada anak dengan cepat, supaya tugasan kita selesai serta urusan anak juga selesai. Apakata kita biarkan dia melakukan sendiri, contohnya anda biasanya akan mengambil pakaian buat anak di almari, jadi hari ini katakan padanya supaya pilihlah pakaian sendiri di almari. Mungkin hasilnya nanti baju dan seluar akan diambil berlainan warna, tapi anda sedar yang dia sebenarnya sudah mempunyai potensi untuk memilih dan dia juga akan mulai merasa bahawa “oh, aku sudah boleh memilih dan pakai sendiri”. Anak kita juga akan berasa gembira jika dia dilibatkan dalam beberapa tugas kecil dalam rumah seperti menyusun bantal di katil, membawa cawan ke meja makan, dan sebagainya. Mereka sangat suka bila dihargai, bukankah anak-anak sangat suka pada pujian, kerana pujian lah yang membuat manusia hidup. Jika anak kita meminta tolong, ajarlah bagaimana melakukan tugas tersebut padanya , daripada anda terus melakukan untuknya. Daripada situasi itu dia akan belajar.

3.  Elakkan mengganggu anak bermain.

Sebolehnya elakkan mengganggu atau mengusik anak ketika mereka sedang bermain atau melakukan sesuatu. Pada kita ia hanyalah sebuah permainan, tapi percayalah permainan merupakan satu pekerjaan bagi anak dan dianggap serius oleh mereka. Anak yang sedang leka dengan permainannya tidak boleh diganggu tetapi diberi sokongan. Daripada sikap inilah anda sebenarnya sedang melatih anak untuk fokus dan berkonsentrasi. Apabila anda nampak ada tanda-tanda anak ingin berehat, maka barulah anda nyatakan apa yang anda ingin padanya, seperti mahu mengajaknya makan atau sebagainya. Ini juga menunjukkan yang anda menghormati dan menghargai masanya bermain, seterusnya sikap inilah yang akan anak bawa terhadap anda, insyaAllah.
4.    Biarkan anak bertanya apa sahaja.

Jangan menghalang anak bertanya apa sahaja yang dia lihat, dengar, dan apa yang dia rasa. Semua soalan itu baginya adalah perlu dijawab walaupun ada di antaranya tidak boleh atau tidak sesuai ditanya malah mungkin juga tidak sesuai dijawab. Jangan menghalang anak ketika dia ingin bersuara. Jika kita tidak peduli dengan perkara kecil yang dia utarakan, suatu hari nanti dia juga tidak mahu menyuarakan perkara besar pada kita. Jangan wujudkan jawapan yang membuat dia keliru atau tidak sepadan dengan tahap mindanya. Satu perkara yang anda harus pegang juga adalah jangan sesekali menangguh menjawab pertanyaan anak, jika anda belum pasti mintalah masa daripadanya untuk menjawab, ingatlah jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan anak kita itu jauh lebih penting daripada urusan kita.

5.  Berikan anak suasana yang bebas untuk dia terokai.

Walaupun sesetengah daripada anak kita cuma beraktiviti di dalam rumah, sediakanlah barang atau peralatan yang boleh menginspirasikan, biarkan mereka berfikir dan mencipta apa sahaja yang mereka suka. Kita boleh setkan aktiviti untuk mereka, contohnya selepas anak menikmati minuman kultur, bersihkan botol tersebut, berikan pada anak dan katanya padanya apa yang kita boleh lakukan supaya botol ini boleh menjadi sesuatu yang lain. Jangan lupa sediakan segala peralatan yang bersesuaian supaya anak mudah untuk berkreatif. Jika rumah anda mempunyai tempat yang sesuai, suruhlah anak bermain di luar kerana suasana di luar lebih luas dan bebas,minda anak-anak juga akan terbuka luas untuk dia teroka, walaupun hanya sekadar melukis.

6.  Sesekali beri peluang anak menjawab soalan-soalan mereka.

Maksud saya di sini ialah di samping menjawab pertanyaan-pertanyaan anak, sesekali pupuklah sikap mereka untuk mengkaji sendiri atau memikirkan sendiri tentang pertanyaan mereka, kita boleh katakan seperti:
‘Apa yang sayang fikir?’
‘Bagaimana kalau kita kaji sama-sama jawapannya?’
‘Di mana ya kita boleh dapatkan jawapan bagi soalan saying tu?’
‘Siapa ya yang boleh kita tanyakan tentang soalan ni?’
‘Di mana kita boleh pergi untuk melihat dengan sebenar tentang persoalan ini?’

7.  Ciptakan ruang di rumah yang mesra belajar (learning friendly) dan galakkan anak lebih berdikari dan bebas.

Jika kita sedang memupuk anak berdikari, maka wujudkanlah suasana dalam rumah yang memudahkan untuk tujuan tersebut. Boleh atau tidak anak mencapai pakaian mereka sendiri di almari, boleh tidak dia mengambil gelasnya sendiri ketika dahaga. Pada perkara yang bersesuaian wujudkan keadaan yang memudahkan mereka melakukan beberapa perkara sendiri.
Ingatkan sikap kita dalam melakukan tugas di rumah akan reflek kepada anak kita, jika kita seorang yang tidak kisah dengan ketidakrapian, maka jangan salahkan anak jika mereka juga begitu. Oleh itu di samping menggalakkan anak untuk berdikari dalam beberapa hal, kita juga harus tetap pada sikap yang terurus dan rapi. Namun begitu saya bukanlah memberi cadangan yang terlalu perfeksionis, jangan risau jika rumah anda ada ketikanya berselerak, jangan marah, kerana kadang-kadang suasana berselerak menunjukkan anak anda sedang berfikir. Membersihkan memanglah penat, tapi biarlah anak berinspirasi dahulu, berikan masa padanya. Anda boleh rapikan bersama-sama selepas anak selesai bermain
8.  Paparkan tugasan atau hasil karya mereka.

Tunjukkan yang kita menghargai kerja mereka dengan mempamerkannya dalam rumah. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa hasil kerja tersebut bukan sahaja berharga pada mereka tetapi juga pada ibu dan ayah, seterusnya sikap ini juga akan menggalakkan mereka untuk melakukannya lagi dan mungkin dengan idea yang berbeza pula.
9.  Nilailah kerja-kerja anak dengan sebaiknya

Apabila anak-anak menunjukkan pada kita kerja mereka, elakkan memberi komen :
‘Good job!’
‘Good girl!’
‘That’s cool/good/fantastic’
Dan sebagainya, kenapa ya?
Sebaiknya bertanya apa yang anak dah buat, atau boleh juga komen apa yang kita lihat, bukan terus memuji tanpa kita tunjukkan yang kita memang benar-benar melihat kerja mereka. Jadi jangan jadikan habit memuji anak terus menerus, kerana anak harus dimotivasikan untuk belajar dan mencipta lagi dan lagi supaya mereka belajar berpuas hati dengan hasil mereka sendiri, bukan melakukan sesuatu hanya untuk mendapat pujian ibu dan ayah.
10. Sentiasa ‘ada’ untuknya.

Terakhir sekali, sentiasalah ‘ada’ bila mereka memerlukan kita. Walaupun kita mahu anak berdikari tetapi mereka masih dalam peringkat belajar, jadi sentiasalah tunjuk dan perhatikan mereka dalam masa yang sama. Mustahil juga untuk bersama anak setiap masa kan, terutama ibu yang berkerja di luar, jadi ambil satu masa samada ketika anak sedang bermain atau melakukan sesuatu, temani anak sepenuhnya pada masa itu. Apabila mereka dapat perhatian penuh daripada kita pada satu peruntukan waktu, pada masa yang lain mereka pasti tidak akan terlalu mendesak kita untuk bersama, terutama pada waktu kita sedang sibuk dengan urusan sendiri.
Percayalah, anak yang diberi kebebasan (selagi masih di bawah garisan peraturan kita), akan mempunyai minda yang lebih kreatif, kritis, dan berkembang. Jangan selalu menganggap anak masih kecil sehingga kita secara tidak sedar menghalang keupayaan mereka. Semoga kita, ibu dan ayah sama-sama perbetulkan apa yang kurang dan meneruskan apa yang sudah diamalkan. Ibu dan ayah hebat, anak juga hebat!


(beberapa bahagian adalah diterjemah daripada Happiness Is Here by Sara)