Membentuk Anak Lebih Berdikari
1. Tidak perlu melayan anak terus menerus.
Tahukah ibu dan ayah, hakikatnya seorang anak tidak
memerlukan kita bersamanya setiap masa, mereka boleh beraktiviti seorang diri
kerana seorang anak mempunyai imaginasi yang sangat besar. Kalaupun anak selalu
datang kepada kita dan bertanya, sebenarnya itu hanyalah sebuah habit, kerana
sebenarnya mereka sudah ada expectation
atau jangkaan. Secara jujur, bermain bersama anak adalah sesuatu yang sangat
bernilai, tetapi berikanlah masa untuk anak bermain sendiri dan bebas supaya
mereka boleh menggunakan idea sendiri dan dilayan oleh kebolehan minda mereka
sendiri. Malah biarkan mereka sesekali berada dalam zon bosan, kerana
hakikatnya dengan kebosanan itulah akan terbit idea-idea baru dan menjana anak
menjadi lebih kreatif.
2. Lihatlah anak anda sebagai seorang yang ‘boleh’.
Kerapkali kita suka menolong melakukan sesuatu pada
anak dengan cepat, supaya tugasan kita selesai serta urusan anak juga selesai.
Apakata kita biarkan dia melakukan sendiri, contohnya anda biasanya akan
mengambil pakaian buat anak di almari, jadi hari ini katakan padanya supaya
pilihlah pakaian sendiri di almari. Mungkin hasilnya nanti baju dan seluar akan
diambil berlainan warna, tapi anda sedar yang dia sebenarnya sudah mempunyai
potensi untuk memilih dan dia juga akan mulai merasa bahawa “oh, aku sudah
boleh memilih dan pakai sendiri”. Anak kita juga akan berasa gembira jika dia
dilibatkan dalam beberapa tugas kecil dalam rumah seperti menyusun bantal di
katil, membawa cawan ke meja makan, dan sebagainya. Mereka sangat suka bila
dihargai, bukankah anak-anak sangat suka pada pujian, kerana pujian lah yang
membuat manusia hidup. Jika anak kita meminta tolong, ajarlah bagaimana
melakukan tugas tersebut padanya , daripada anda terus melakukan untuknya.
Daripada situasi itu dia akan belajar.
3. Elakkan mengganggu anak bermain.
Sebolehnya elakkan mengganggu atau mengusik anak
ketika mereka sedang bermain atau melakukan sesuatu. Pada kita ia hanyalah
sebuah permainan, tapi percayalah permainan merupakan satu pekerjaan bagi anak
dan dianggap serius oleh mereka. Anak yang sedang leka dengan permainannya
tidak boleh diganggu tetapi diberi sokongan. Daripada sikap inilah anda
sebenarnya sedang melatih anak untuk fokus dan berkonsentrasi. Apabila anda nampak
ada tanda-tanda anak ingin berehat, maka barulah anda nyatakan apa yang anda
ingin padanya, seperti mahu mengajaknya makan atau sebagainya. Ini juga
menunjukkan yang anda menghormati dan menghargai masanya bermain, seterusnya
sikap inilah yang akan anak bawa terhadap anda, insyaAllah.
4.
Biarkan anak
bertanya apa sahaja.
Jangan menghalang anak bertanya apa sahaja yang dia
lihat, dengar, dan apa yang dia rasa. Semua soalan itu baginya adalah perlu
dijawab walaupun ada di antaranya tidak boleh atau tidak sesuai ditanya malah
mungkin juga tidak sesuai dijawab. Jangan menghalang anak ketika dia ingin
bersuara. Jika kita tidak peduli dengan perkara kecil yang dia utarakan, suatu
hari nanti dia juga tidak mahu menyuarakan perkara besar pada kita. Jangan
wujudkan jawapan yang membuat dia keliru atau tidak sepadan dengan tahap mindanya.
Satu perkara yang anda harus pegang juga adalah jangan sesekali menangguh
menjawab pertanyaan anak, jika anda belum pasti mintalah masa daripadanya untuk
menjawab, ingatlah jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan anak kita itu jauh lebih
penting daripada urusan kita.
5. Berikan anak
suasana yang bebas untuk dia terokai.
Walaupun sesetengah daripada anak kita cuma
beraktiviti di dalam rumah, sediakanlah barang atau peralatan yang boleh
menginspirasikan, biarkan mereka berfikir dan mencipta apa sahaja yang mereka
suka. Kita boleh setkan aktiviti untuk mereka, contohnya selepas anak menikmati
minuman kultur, bersihkan botol tersebut, berikan pada anak dan katanya padanya
apa yang kita boleh lakukan supaya botol ini boleh menjadi sesuatu yang lain.
Jangan lupa sediakan segala peralatan yang bersesuaian supaya anak mudah untuk
berkreatif. Jika rumah anda mempunyai tempat yang sesuai, suruhlah anak bermain
di luar kerana suasana di luar lebih luas dan bebas,minda anak-anak juga akan
terbuka luas untuk dia teroka, walaupun hanya sekadar melukis.
6. Sesekali beri peluang anak menjawab soalan-soalan
mereka.
Maksud saya di sini ialah di samping menjawab
pertanyaan-pertanyaan anak, sesekali pupuklah sikap mereka untuk mengkaji
sendiri atau memikirkan sendiri tentang pertanyaan mereka, kita boleh katakan
seperti:
‘Apa yang sayang fikir?’
‘Bagaimana kalau kita kaji sama-sama jawapannya?’
‘Di mana ya kita boleh dapatkan jawapan bagi soalan
saying tu?’
‘Siapa ya yang boleh kita tanyakan tentang soalan
ni?’
‘Di mana kita boleh pergi untuk melihat dengan
sebenar tentang persoalan ini?’
7. Ciptakan ruang di rumah yang mesra belajar (learning friendly) dan galakkan anak
lebih berdikari dan bebas.
Jika kita sedang memupuk anak berdikari, maka
wujudkanlah suasana dalam rumah yang memudahkan untuk tujuan tersebut. Boleh
atau tidak anak mencapai pakaian mereka sendiri di almari, boleh tidak dia
mengambil gelasnya sendiri ketika dahaga. Pada perkara yang bersesuaian
wujudkan keadaan yang memudahkan mereka melakukan beberapa perkara sendiri.
Ingatkan sikap kita dalam melakukan tugas di rumah
akan reflek kepada anak kita, jika kita seorang yang tidak kisah dengan
ketidakrapian, maka jangan salahkan anak jika mereka juga begitu. Oleh itu di
samping menggalakkan anak untuk berdikari dalam beberapa hal, kita juga harus
tetap pada sikap yang terurus dan rapi. Namun begitu saya bukanlah memberi
cadangan yang terlalu perfeksionis, jangan risau jika rumah anda ada ketikanya berselerak,
jangan marah, kerana kadang-kadang suasana berselerak menunjukkan anak anda sedang
berfikir. Membersihkan memanglah penat, tapi biarlah anak berinspirasi dahulu,
berikan masa padanya. Anda boleh rapikan bersama-sama selepas anak selesai
bermain
8. Paparkan tugasan atau hasil karya mereka.
Tunjukkan yang kita menghargai kerja mereka dengan
mempamerkannya dalam rumah. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa hasil kerja
tersebut bukan sahaja berharga pada mereka tetapi juga pada ibu dan ayah,
seterusnya sikap ini juga akan menggalakkan mereka untuk melakukannya lagi dan
mungkin dengan idea yang berbeza pula.
9. Nilailah kerja-kerja anak dengan sebaiknya
Apabila anak-anak menunjukkan pada kita kerja
mereka, elakkan memberi komen :
‘Good job!’
‘Good girl!’
‘That’s
cool/good/fantastic’
Dan sebagainya, kenapa ya?
Sebaiknya bertanya apa yang anak dah buat, atau
boleh juga komen apa yang kita lihat, bukan terus memuji tanpa kita tunjukkan
yang kita memang benar-benar melihat kerja mereka. Jadi jangan jadikan habit
memuji anak terus menerus, kerana anak harus dimotivasikan untuk belajar dan
mencipta lagi dan lagi supaya mereka belajar berpuas hati dengan hasil mereka
sendiri, bukan melakukan sesuatu hanya untuk mendapat pujian ibu dan ayah.
10.
Sentiasa ‘ada’
untuknya.
Terakhir sekali, sentiasalah ‘ada’ bila mereka memerlukan
kita. Walaupun kita mahu anak berdikari tetapi mereka masih dalam peringkat
belajar, jadi sentiasalah tunjuk dan perhatikan mereka dalam masa yang sama.
Mustahil juga untuk bersama anak setiap masa kan, terutama ibu yang berkerja di
luar, jadi ambil satu masa samada ketika anak sedang bermain atau melakukan
sesuatu, temani anak sepenuhnya pada masa itu. Apabila mereka dapat perhatian
penuh daripada kita pada satu peruntukan waktu, pada masa yang lain mereka
pasti tidak akan terlalu mendesak kita untuk bersama, terutama pada waktu kita
sedang sibuk dengan urusan sendiri.
Percayalah, anak yang diberi kebebasan (selagi
masih di bawah garisan peraturan kita), akan mempunyai minda yang lebih kreatif,
kritis, dan berkembang. Jangan selalu menganggap anak masih kecil sehingga kita
secara tidak sedar menghalang keupayaan mereka. Semoga kita, ibu dan ayah
sama-sama perbetulkan apa yang kurang dan meneruskan apa yang sudah diamalkan.
Ibu dan ayah hebat, anak juga hebat!
(beberapa
bahagian adalah diterjemah daripada Happiness Is Here by Sara)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan