Isnin, 12 Oktober 2015
Adab Menziarah Bayi Baru Lahir
Assalamualaikum, sepanjang menjadi ibu dan melalui pengalaman melahirkan anak, saya ingin berkongsi sedikit adab-adab menziarah bayi baru lahir supaya keselamatan bayi dan ibu dari aspek kesihatan dan agama terpelihara, insyaAllah.
Adab bagi tetamu:
1. Berziarahlah pada waktu pagi atau awal petang kerana ketika ini ibu bayi dalam keadaan bersedia. Jangan sesekali menjenguk bayi pada waktu maghrib atau malam.
2. Sebaiknya ketika sampai di rumah tuan rumah, sebelum melangkah masuk, bacalah ayat-ayat Alquran khususnya ayatul kursi, supaya dijauhkan daripada gangguan makhluk lain yang mungkin mengiringi kita di perjalanan.
3. Sebaik sampai, jangan lah terus menjenguk bayi, sebaiknya duduklah dahulu.
4. Apabila melihat bayi, tidak perlu menggendong mahupun menyentuh bayi, kerana dikhuatiri tangan kita dalam keadaan tidak bersih, sementelahan bayi yang masih sangat lemah antibodinya.
5. Berdoalah kesejahteraan bayi dengan suara yang boleh didengar oleh bayi walaupun dia masih belum mengerti.
6. Setelah itu jauhkan lah diri anda daripada bayi tersebut, dan duduklah di tempat duduk tamu seperti biasa.
7. Amalan mencium bayi sebelum pulang sebagai tanda ucapan selamat tinggal juga tidak perlu dilakukan.
8. Tidak perlu menyuarakan terlalu banyak tips kepada ibu kecuali dipinta, kerana dikhuatiri pandangan kita boleh membebankan ibu yg masih lemah.Cukuplah memberi semangat dan pujian kepada ibu serta menyatakan perkara-perkara yang menyenangkan.
Adab bagi ibu:
1. Pastikan ibu menjaga aurat dengan sempurna ketika ada kunjungan tetamu. Tidak ada alasan untuk membuka aurat ketika ini.
2. Ibu tidak perlu tidur dan meletakkan segala barangan ibu dan bayi di ruang tamu, seperti kebiasaan yang dilakukan masyarakat kita, ini kerana ibu perlu menjaga aurat serta aib dirinya, manakala keadaan bayi yang masih lemah antibodinya tidak boleh didedahkan begitu sahaja seperti barang pameran.
3. Sebaik tetamu datang, tidak perlu membawa bayi dan di tunjukkan kepada tetamu, cukuplah sekadar tetamu menjenguk bayi di bilik tidur seterusnya mendoakannya tanpa perlu menggendong atau menyentuh bayi.
4. Biarkan bayi tidur di bilik walaupun ada kunjungan tetamu.
Sesungguhnya kita sebagai ibubapa tidak salah jika kita kelihatan sedikit cerewet terhadap bayi kita yang masih baru. Menjaga kesihatan bayi itu lebih patut diutamakan.
Sekiranya ada daripada perkongsian saya kali ini yang masih belum lengkap, mohon beri cadangan anda di sini. Wallahua'lam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan